Tuesday, January 30, 2007

Pengenalan


Pertumbuhan dan Perkembangan Sepanjang Hayat

Pertumbuhan dan perkembangan manusia merupakan paten perubahan fizikal, kognitif dan sosio-emosi sepanjang pusingan hayat manusia. Manusia secara fitrahnya berkembang seperti bulan sabit: bersifat lemah pada usia awalnya, semakin membesar dan kuat pada usia pertengahan dan menjadi lemah kembali pada usia emas. Justeru, pertumbuhan dan perkembangan manusia meliputi dari saat terbentuknya janin manusia sehingga menjadi seorang bayi dan seterusnya berkembang menjadi seorang kanak-kanak, remaja, dewasa dan berakhir dengan detik kematian.

Falsafah Fitrah Kejadian Manusia

Ahli falsafah menanggap fitrah kejadian manusia berasaskan konsep tiga konsep iaitu semulajadi berdosa, tabula rasa dan ‘innate goodness’.

Pada kurun pertengahan, kanak-kanak dipercayai lahir dengan dosa dan kejahatan. Justeru, tujuan pengasuhan kanak-kanak adalah untuk membersihkan mereka daripada dosa-dosa tersebut.

Pada kurun ke-17, John Locke memperkenalkan konsep tabula rasa. Kanak-kanak diibaratkan seperti ‘blank blanket’. Keperibadiannya terbentuk daripada pengalaman.




Pada kurun berikutnya, Jean-Jacques Rousseau memperkenalkan konsep innate goodness view. Menurutnya, kanak-kanak dilahirkan dengan keadaan sedia baik. Oleh itu, beliau mencadangkan agar kanak-kanak dibiarkan membesarkan secara semula-jadi dengan pengawasan yang minimum.


Falsafah Kejadian Manusia Daripada Perspektif Al-Quran & Sunnah


Berikut merupakan antara falsafah fitrah kejadian manusia yang diwariskan melalui Quran dan sunnah:

  • Manusia adalah sebaik-baik kejadian
  • Manusia adalah khalifah Allah (mengurus dan mentadbir alam) menuju kesejahteraan
  • Manusia pertama (Adam) dicipta dari tanah, manakala Hawa (isteri Adam) dicipta dari tulang rusuk kiri Adam
  • Anak lahir ibarat kain putih. Ibubapa yang menjadikannya seorang majusi, nasrani dsb.
  • Setiap manusia mempunyai dua musuh utama sejak lahir iaitu hawa nafsu dan syaitan
  • Para Rasul diutus untuk memimpin manusia pada jalan kebenaran
  • Manusia yang paling mulia adalah yang paling bertaqwa & berakhlak mulia
  • Setiap manusia mempunyai nasib tersendiri (Qada’ dan Qadar)
  • Tujuan penciptaan manusia adalah untuk beribadah kepada Allah
  • Manusia bersifat gelisah dan tergesa-gesa, kecuali orang-orang yang sabar dan tetap dalam mendirikan solat dengan sempurna
  • Manusia dihidupkan dan dimatikan untuk diuji siapakah yang terbaik amalannya ketika di dunia
  • Pusingan hidup manusia ibarat bulan sabit
  • Setiap manusia akan diberi pembalasan di hari akhirat
  • Kehidupan di dunia bersifat sementara. Kehidupan abadi (tanpa kematian) adalah di akhirat.

Proses dan Jangka Masa Perkembangan

Pertumbuhan dan perkembangan manusia mempunyai persamaan dan perbezaan di antara satu sama lain. Perkembangan manusia juga bersifat kompleks kerana ianya terhasil daripada proses biologi, kognitif dan sosio-emosi manusia. Setiap manusia melalui proses kelahiran, tumbesaran dan kematian. Namun dalam proses tersebut, setiap individu melalui pengalaman yang berbeza dan akhirnya menjadikan setiap individu adalah unik.

Proses Biologi, Kognitif dan Psiko-Emosi

Proses biologi merupakan proses perubahan fizikal manusia secara semula-jadi. Gen daripada keluarga, pertumbuhan otak, pertambahan tinggi dan berat badan, perubahan kemahiran motor, perubahan hormon dan penurunan kardiovaskular mencerminkan peranan proses biologi dalam pertumbuhan manusia.

Proses kognitif merupakan perubahan pemikiran, kepintaran dan bahasa manusia. Proses sosio-emosi pula berkait dengan perubahan dalam hubungan manusia dengan orang lain, perubahan emosi serta personalitinya.

Kesemua proses ini saling berhubungan, berintegrasi dan mempengaruhi antara satu sama lain. Sehubungan itu, pertumbuhan dan perkembangan manusia adalah intergrasi antara proses biologi, kognitif dan sosio-emosi manusia.


Tempoh Perkembangan

Tempoh perkembangan merujuk kepada jangka masa dalam kehidupan seseorang yang ditandakan dengan beberapa kriteria. Tempoh perkembangan manusia dibahagikan tahap mengikut turutan iaitu:

  1. Prenatal: Prenatal adalah tempoh masa dari dalam kandungan sehingga kelahiran. Melibatkan pertumbuhan pesat dari satu unit sel kepada satu ornisma kompleks.

  2. Bayi: 18 bulan hingga 24 bulan. Tempoh kebergantungan yang tinggi kepada orang dewasa dan tempoh permulaan aktiviti psikologi.

  3. Kanak-kanak awal: 25 bulan hingga 6 tahun. Juga dikenali sebagai peringkat pra-sekolah. Belajar menjadi self-sufficient, bersedia untuk belajar dan suka bermain dengan rakan sebaya.


  4. Kanak-kanak pertengahan dan akhir: 6 hingga 11 tahun. Mula bersekolah. Dikenali sebagai tempoh the elementary school year. Mula menguasai kemahiran membaca, mengira dan menulis.


  5. Remaja: Tempoh transisi daripada kanak-kanak kepada orang dewasa awal. Bermula antara 10-12 tahun sehingga 18-22 tahun. Mengalami pertumbuhan biologi yang pesat. Mula berdikari, membentuk identiti, berfikiran logik, abstrak dan idealistik.


  6. Dewasa awal: Awal 20-an hingga 30-an. Masa pengukuhan pribadi, ekonomi dan memulakan hidup berkeluarga.


  7. Dewasa pertengahan: 40 an-60-an. Menjadi matang dan memperolehi kepuasan kerjaya.


  8. Dewasa akhir: 60-an atau 70-an hingga meninggal dunia. Terbahagi kepada dua iaitu tua awal (65-74 tahun) dan tua akhir (75 tahun dan ke atas).


Isu Perkembangan


  1. Nature and nurture: Perkembangan dipengaruhi oleh faktor semulajadi (sifat biologi manusia) atau pengasuhan.


  2. Continuity and discontinuity: Perkembangan melibatkan perubahan kumulatif (continuity) atau distinct states (discontinuity)


  3. Kestabilan dan perubahan: Pembangunan manusia melibatkan kestabilan atau perubahan.

Rujukan

Al-Quran

Santrock, J. W. 2004. Life span development. New York: Mc Graw Hill. (ms 1-64).



No comments: